
Laporan/ foto : Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Hari Keluarga Kampung Daun, Singai berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti sukaneka di Padang St. John yang berjaya menarik penyertaan ramai penduduk tanpa mengira usia dan latar belakang.
Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi yang hadir merasmikan majlis itu berkata, penganjuran aktiviti berkonsepkan kekeluargaan bukan sekadar sebagai wadah hiburan, malah berperanan penting dalam memperkasakan institusi keluarga serta memperkukuh perpaduan komuniti di peringkat akar umbi.

Eddy (dua dari kanan) memberikan arahan menerusi mikrofon sebagai gimik perasmian sebelum acara tarik tali dimulakan.
“Program inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan belia Kampung Daun ini membuktikan semangat kerjasama yang tinggi penduduk di sini malah juga sebagai simbol keharmonian dan perpaduan masyarakat setempat yang wajar dicontohi oleh komuniti lain,” katanya.
Beliau turut menambah, nilai-nilai murni seperti semangat kejiranan, tolong-menolong dan rasa kekitaan harus terus dipupuk agar kesejahteraan sosial dan keamanan di kampung dapat dikekalkan dari generasi ke generasi.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Hari Keluarga Kampung Daun Singai William Takang berkata sebanyak 16 acara sukan dipertandingkan melibatkan penyertaan kanak-kanak hingga golongan dewasa.

Program Hari Keluarga Kampung Daun turut membuka peluang kepada penduduk menjana ekonomi keluarga melalui jualan makanan dan minuman di tapak acara.
“Antara acara yang paling mendapat sambutan ialah pertandingan tarik tali, larian dalam guni dan perlumbaan motosikal paling perlahan yang mencuit hati para penonton, di tambah lagi cabutan tiket bertuah turut menjadi daya tarikan utama sepanjang program berlangsung,” jelasnya lagi.
-RJ-





