Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Karnival Yan Sihat, HSN 2025 Meriah di Guar Chempedak

By 13 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fauziah Abdul Wahab (Yan)

YAN, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Suasana meriah menyelubungi perkarangan Guar Utama, Guar Chempedak, di sini apabila Karnival Yan Sihat dan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 berjaya menarik penyertaan ramai menerusi pelbagai aktiviti sukan dan kesihatan.

Program anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Yan serta Pejabat Daerah dan Tanah Yan itu diadakan kelmarin bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat setempat, selaras dengan matlamat HSN yang diraikan di seluruh negara setiap Oktober.

Antara aktiviti utama yang mencuri tumpuan ialah Kayuhan MADANI yang disertai puluhan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh daerah Yan. Kayuhan santai itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta beriadah secara sihat, malah mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.

Larian ceria turut mendapat sambutan.

Salah seorang peserta, Azlan Ahmad, 33, meluahkan rasa puas hati terhadap kelancaran penganjuran kali ini.

“Saya berpuas hati dengan penganjuran kali ini kerana semuanya berjalan lancar. Walaupun penat berkayuh, suasananya sangat meriah dengan peserta yang ‘sporting’. Cenderahati pun berbaloi dan keseluruhannya terbaik,” katanya.

Selain kayuhan, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya senamrobik dan zumba, Larian Ria (Topeng Fun Run), e-sukan, Pertandingan Bento Box Awesome serta pameran agensi kerajaan dan swasta.

Turut menarik perhatian ialah kaunter saringan kesihatan yang memberi peluang kepada pengunjung menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, selain jualan produk tempatan seperti rempah Cap O dan produk Adabi.

Setiap pengunjung yang hadir turut menerima kupon cabutan bertuah dan sijil digital, dengan hadiah menarik seperti basikal, barangan elektrik dan syiling emas menjadi tarikan utama kepada peserta bertuah.

Secara keseluruhannya, Karnival Yan Sihat dan Hari Sukan Negara 2025 bukan sahaja menyemarakkan sambutan HSN di peringkat daerah, tetapi turut memperlihatkan semangat perpaduan serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-RI

Tinggalkan komen anda