
Laporan/ foto : Mohsin Ujap/ Lucy Apong (Sarawak)
SIBU, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Dalam dunia fesyen yang sentiasa berubah, terdapat segelintir individu yang gigih memastikan warisan tradisional terus relevan dan dihargai. Salah seorang daripadanya ialah Lucy Upong, 38, yang komited memperkenalkan Kain Buriek iaitu sejenis kain tradisional masyarakat Iban ke arus perdana.
Buriek merupakan salah satu perhiasan unik digunakan pada bahagian kain tradisional wanita kaum Iban, diperbuat daripada sejenis kulit atau cengkerang siput laut yang dibentuk dan disusun dengan pelbagai corak bagi menambahkan lagi keindahan busana masyarakat Iban sejak turun-temurun.

Menarik untuk digunakan terutamanya di sesuatu majlis formal yang secara tidak langsung mengangkat hasil kesenian kaum Iban.
Kain Buriek bukan sekadar busana, ia adalah simbol ketelitian, keindahan dan nilai budaya tinggi. Ciri istimewa kain ini adalah hiasan “buriek” yang diperbuat daripada kulit atau cengkerang siput laut.
Menghasilkan Kain Buriek bukanlah tugas mudah kerana ia menuntut kesabaran, ketelitian dan masa yang lama, biasanya antara tiga hingga empat hari bergantung kepada saiz serta kerumitan corak yang dihasilkan.
Setiap helaian kain membawa nilai estetika dan budaya yang tinggi. Justeru, tidak hairanlah ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat moden, bukan sahaja dalam kalangan kaum Iban, malah turut digemari oleh kaum Dayak lain serta masyarakat Melayu di Sarawak.
Tembusi Pasaran Semenanjung
Bagi Lucy, minat terhadap Kain Buriek mula bercambah sejak diperkenalkan oleh seorang rakan yang mahir dalam pembuatan kain tersebut. Sejak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang. Dengan semangat yang membara, beliau terus mendalami ilmu pembuatan Buriek, termasuk melalui platform media sosial seperti Facebook dan YouTube sejak tahun 2023.
“Bermula dari situlah minat saya terus membara dan saya nekad untuk berkecimpung sepenuh masa dalam bidang kraftangan berasaskan Kain Buriek sehingga kini menjadi sumber pendapatan utama saya,” ujarnya.
Kini, Lucy bukan sahaja menghasilkan kain tradisional Buriek, tetapi turut mengembangkan rekaan kepada pelbagai bentuk produk berasaskan Buriek. Antaranya ialah Kain Buriek Panjang atau Mini Skirt, Kain Buriek Kebaya, Tango Buriek, Kuas Buriek, Selampai Buriek untuk wanita dan lelaki, serta Topi Buriek (Labung Buriek).

Tampak ringkas tetapi untuk menghasilkannya memerlukan kemahiran dan ketelitian mendalam.
Sesuai dengan taraf kain ini, kos penghasilan seunit Kain Buriek boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenis cengkerang yang digunakan, saiz kain dan corak yang dihasilkan termasuk juga mengambil kira ketelitian serta masa yang diperlukan bagi menyiapkan setiap produk.
Lebih membanggakan, produk hasil tangan Lucy kini mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dari seluruh Sarawak, malah juga dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.
Peranan Anak Muda Kekal Warisan Buriek
Buat Lucy, seni tradisional bukan sekadar tinggalan nenek moyang sebaliknya harta yang perlu dijaga dan diteruskan. Sebab itulah beliau berharap agar lebih ramai anak muda berani tampil dan mengambil peranan dalam mempertahankan seni warisan itu.
“Saya menyeru agar generasi muda tidak memandang sepi seni kraftangan ini kerana ia mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dipelajari, dipelihara dan diwarisi agar tidak hilang ditelan arus kemodenan,” katanya.

Bercirikan motif Sarawak, Kain Buriek popular bukan sahaja dalam kalangan kaum Iban tetapi juga etnik lain di Sarawak.
Bagi pelanggan yang berminat, mereka boleh membuat tempahan atau pembelian melalui media sosial Lucy di Facebook dan TikTok Mamy Buriek Lucy.
Beliau percaya, dengan minat, kesungguhan dan sedikit kreativiti, seni seperti Kain Buriek mampu terus hidup, malah mungkin menjadi ikon budaya Malaysia di peringkat antarabangsa satu hari nanti.
-RJ-





