
Laporan/ foto: Hasrulazlinda Hassan/ Mohd Khairulnizam Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Negeri Sembilan muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) secara menyeluruh melibatkan 479 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika ditemuramah wartawan cilik.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dan semua pihak dalam memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan murid.
“Kempen ini akan diteruskan secara berperingkat di sekolah-sekolah seluruh negara dalam usaha memperkasakan murid dan pendidik menghadapi cabaran dunia digital.
“Kementerian Komunikasi amat komited dalam memupuk kesedaran awal serta membudayakan penggunaan internet selamat dan bertanggungjawab demi kesejahteraan digital negara,” katanya ketika merasmikan KIS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini semalam.
Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan aktif murid, guru, ibu bapa dan pihak sekolah.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bersama dif-dif kehormat.
KIS dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh melalui sesi taklimat dan aktiviti interaktif menggunakan modul khas yang direka bagi meningkatkan kefahaman murid terhadap penggunaan internet yang beretika, selamat dan bertanggungjawab.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli; Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Norazam Nayan; serta Guru Besar SJKC Bandar Sri Sendayan, Chan Mun Eng.
-AA





