
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd.Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 26 Okt (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru agar bersikap lebih terbuka dalam memahami isu kesihatan mental dan tidak lagi memandang negatif terhadap individu yang menghadapinya.
Pakar Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang, Dr. Mohd. Fariz Idris berkata stigma dan salah faham terhadap pesakit mental masih menjadi antara faktor utama yang menghalang proses pemulihan dan penerimaan mereka dalam masyarakat.
“Penyakit mental sebenarnya sama seperti penyakit fizikal Ia boleh dirawat dan dikawal dengan kaedah yang betul. Masyarakat perlu dididik secara berterusan agar memahami bahawa kemurungan, kebimbangan atau kecelaruan fikiran bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk penyakit yang memerlukan rawatan profesional.

Dr. Fariz (kanan) dalam sesi temubual Influencer@JAPEN dikendalikan oleh Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah, Nuzuluddin Abdul Razak.
“Setiap individu berisiko mengalami tekanan mental, tanpa mengira latar belakang atau pekerjaan. Tekanan hidup, masalah kewangan, trauma dan buli merupakan antara faktor yang boleh mencetuskan gangguan kesihatan mental” katanya dalam Program Influencer@JAPEN sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2025 di sini pada Sabtu.
Tambahnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiass konsisten untuk menganjurkan kempem kesedaran mengenai kesihatan mental di samping pelaksanaan pelbagai program rawatan.
“Melalui pendidikan dan penerangan berterusan, kita dapat mengubah persepsi bahawa pesakit mental adalah beban. Sebaliknya, mereka perlu diberi peluang untuk hidup seperti individu lain, mempunyai pekerjaan dan fungsi sosial yang baik.

Saringan kesihatan antara pengisian program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 Peringkat Negeri Sabah, semalam.
“Dalam pada itu, rawatan bagi pesakit mental kini lebih mudah diakses melalui hospital dan klinik kesihatan awam selain bantuan daripada NGO. Pihak KKM juga menyediakan Talian HEAL 1555 untuk mereka mendapatkan khidmat nasihat secara percuma daripada pakar atau kaunseling,” ujarnya.
Untuk makluman, Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 peringkat Negeri Sabah diadakan sebagai platform penting untuk menyampaikan mesej positif berkenaan isu kesihatan mental dan tanggungjawab bersama masyarakat.
-RJ-





