
Laporan/ foto: Liew Chong Vui
KUCHING, 24 Okt (MalaysiaAktif) – Di bumi Kenyalang yang subur dengan budaya dan keindahan alam semula jadi, tersimpan sebuah hasil seni yang mmempesonakan iaitu pasu bunga Sarawak.
Ia bukan sekadar perhiasan di sudut rumah, tetapi warisan turun-temurun yang mencerminkan ketekunan dan kreativiti masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.
Keindahan reka bentuknya yang sarat dengan corak tradisional menjadikan pasu bunga Sarawak antara produk kraf tangan tempatan yang mendapat perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Setiap pasu dihasilkan dengan penuh ketelitian bermula daripada proses menepuk dan membentuk tanah liat, membakarnya di dalam relau, sehinggalah ke sentuhan akhir yang membawa makna tersendiri pada setiap corak dan lengkung yang terukir.

Pasu bercorak rumah panjang.
Motif-motif seperti burung enggang yang gagah, naga yang melambangkan kekuatan, pusaran air yang menggambarkan kehidupan dan corak pua kumbu yang sarat falsafah Dayak adalah ilham utama yang menghiasi pasu-pasu ini.
Alam semula jadi dari hutan tropika hingga rumah panjang di tebing sungai, menjadi sumber inspirasi yang menghubungkan manusia dan alam dalam satu karya abadi.
Namun, di sebalik keindahan dan keunikan yang dipamerkan, industri pembuatan pasu bunga Sarawak kini berdepan cabaran besar apabila ia semakin kekurangan tenaga pelapis muda.
Menurut pengusaha kraf tanah liat, Khoo Chiew Voon, 53, dari Top Deco Enterprise di Batu 5, Jalan Penrissen, beliau kini antara segelintir pengukir yang masih setia meneruskan seni tersebut selepas lebih 30 tahun bergiat dalam bidang ini.
“Tiada lagi pelapis muda yang mahu belajar dan bila kami tidak meneruskan lagi, siapakah yang akan menghidupkan seni ini?” katanya ketika ditemui hari ini.

Khoo sedang mengukir corak pua kumbu pada pasu kecil.
Tambahnya, cabaran utama industri ini ialah persaingan daripada produk moden yang dihasilkan secara besar-besaran oleh mesin sementara proses tradisional mengambil masa panjang dan hasilnya terhad.
“Tanpa bantuan kewangan dan promosi yang kuat, pasu bunga Sarawak kian hilang dari pandangan generasi baru, meskipun nilainya tidak pernah luntur,” ujarnya lagi.
Meskipun berdepan kesukaran, semangat dan cinta terhadap seni warisan ini masih hidup dalam diri pengusaha tempatan kerana selagi ada tangan yang mahu menguli tanah liat dan hati yang percaya bahawa seni adalah warisan jiwa, pasu bunga Sarawak akan terus bernyawa.
Sudah tiba masanya masyarakat dan pihak berkuasa bersama-sama memelihara seni ini dengan memberi latihan, ruang pameran dan sokongan kepada pengusaha tempatan memandangkan pasu bunga Sarawak bukan sekadar hasil kraf, tetapi simbol identiti, warisan dan jiwa bangsa yang berakar di tanah Bumi Kenyalang.
-RJ-





