
Laporan/ foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 11 Okt (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Baling terus mengukuhkan peranannya sebagai platform pembangunan sosial bersepadu bagi memperkasa kehidupan warga emas melalui pelbagai program kesihatan, pembelajaran dan kemasyarakatan yang dijalankan secara berterusan di daerah ini.

Antara aktiviti riadah menyusuri Sungai Baling
Ditubuhkan pada tahun 2019 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), PAWE Baling berfungsi sebagai pusat pendamping sosial dengan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pendekatan ini sejajar dengan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang menekankan kesejahteraan kesihatan, ekonomi, sosial dan pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut Pengerusi PAWE Baling, Azemi Ghazali, pelbagai aktiviti diadakan bagi memastikan warga emas sentiasa aktif dan terlibat dengan komuniti, termasuk senaman kesihatan, kelas pengajian al-Quran, kelas masakan, sambutan hari lahir, serta lawatan sambil belajar dan gotong-royong.
“Dengan keanggotaan lebih 300 ahli, PAWE Baling kini menjadi contoh terbaik pusat komuniti yang berjaya memperkasa warga emas secara holistik dan berterusan, selaras dengan aspirasi kerajaan memperkukuh kesejahteraan warga emas di peringkat akar umbi,” katanya.
-AA-





