
Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Muhammad Jamil (Lipis)
LIPIS, 21 Okt (MalaysiaAktif) — Penduduk setempat berpeluang mengenali ilmu dan pengetahuan baharu melalui sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 yang diadakan di daerah ini, kelmarin.

Menteri Besar Pahang ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Menurut salah seorang penduduk setempat Rosdi Ismail, 44, penganjuran sambutan di kawasan kediamannya itu memberi peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai statistik negara.
“Saya berkesempatan mengunjungi pameran data serta beberapa aktiviti lain yang diadakan sempena sambutan Hari Statistik ini dan saya tidak sangka banyak ilmu baharu yang saya perolehi,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, Ahad lalu.
Katanya inisiatif agensi kerajaan untuk turun padang dan menganjurkan aktiviti buat penduduk setempat wajar dipuji kerana ia secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada rakyat mengenai peranan sesebuah agensi kerajaan.

Kehadiran orang ramai memeriahkan acara sambutan.
“Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dari masa ke semasa kerana sebagai rakyat saya mendapat banyak input yang sebelum ini tidak pernah saya ketahui,” katanya.
Sambutan selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Oktober lalu dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
-RI





