
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Alor Setar)
ALOR SETAR, 3 Okt (MalaysiaAktif) – Program Sembang Santai dan Majlis Perasmian Projek SejaTi MADANI berlangsung meriah di Kampung Jawa, Alor Janggus semalam dengan penyertaan penduduk setempat bersama pemimpin komuniti.

Penternakan lembu feedlot antara Projek SejaTi MADANI.
Majlis dirasmikan Pengerusi Syarikat Perniagaan Peladang (MADACORP), Asmirul Anuar Aris yang merakamkan penghargaan kepada Ketua MADANI Kubang Rotan Zon A atas kejayaan menganjurkan program tersebut.
“Tahniah diucapkan kerana berjaya melaksanakan program ini bersama komuniti. Usaha sebegini memberi kesan positif kepada masyarakat melalui suasana kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Antara pengisian utama ialah sesi sembang santai komuniti bersama Pejabat Penerangan Daerah Kota Setar mengenai inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta perkongsian mengenai tarif elektrik oleh wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penduduk kampung dan ahli komuniti yang hadir sempena Sembang Santai dan Perasmian Projek SejaTi MADANI.
Projek Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) Kampung Jawa yang berasaskan penternakan lembu diyakini mampu memberi manfaat berterusan, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam memperkukuh semangat gotong-royong dan kesejahteraan komuniti setempat.
Program ini secara keseluruhan berjaya menyerlahkan semangat kebersamaan dan menzahirkan komitmen masyarakat Kampung Jawa dalam mendukung aspirasi Malaysia MADANI ke arah kesejahteraan bersama.
-RI





