Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

PSMZA Cipta Sejarah, 149,633 Pengunjung Buktikan TVET Jadi Pilihan Arus Perdana

By 1 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Unit Komunikasi Korporat PSMZA

KUALA NERUS, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Mega Fiesta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) 2025 menutup tirainya dengan penuh gilang-gemilang apabila Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) mencatat sejarah baharu melalui pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori ‘Largest Turnout in TVET Fair’.

Para penerima sijil Malaysia Book of Records bergambar kenangan selepas majlis penutupan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di Dewan Perdana, UniSZA.

Rekod itu diraih selepas program mega berkenaan berjaya menarik seramai 149,633 pengunjung, iaitu lebih empat kali ganda daripada sasaran awal hanya 30,000 orang.

Majlis penutupan di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disempurnakan Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Mohd Daud Isa yang turut menyampaikan sijil pengiktirafan MBR kepada 28 institusi, agensi dan rakan industri yang bersama menjayakan kejayaan bersejarah ini, di sini kelmarin.

“Pencapaian luar biasa ini membuktikan TVET bukan lagi pilihan kedua, malah sudah menjadi arus perdana pembangunan modal insan negara, selari dengan Dasar TVET Negara 2030 yang mensasarkan 60 peratus tenaga kerja negara berkemahiran tinggi menjelang 2030,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah PSMZA Zamra Derahman, menzahirkan rasa bangga atas sokongan padu pelbagai pihak.

Sebahagian tetamu kehormat, warga PSMZA serta wakil agensi dan rakan industri yang hadir memeriahkan majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records.

“Sambutan yang melangkaui empat kali ganda sasaran awal adalah bukti TVET semakin diyakini masyarakat sebagai laluan masa depan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi,” katanya.

Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 berlangsung sejak 15 Julai lalu dengan pelbagai acara berimpak tinggi seperti Kayuhan Bersama Lagenda, Career Fest, Persidangan Antarabangsa dan Kayak Merdeka yang menggabungkan elemen pendidikan, sukan, komuniti serta pendedahan kerjaya.

Kejayaan kali ini mengekalkan rekod cemerlang PSMZA yang tiga tahun berturut-turut meraih pengiktirafan MBR, selepas kejayaan ‘First Polytechnic with Sundial (2023)’ dan ‘The Longest Jalur Gemilang Human Trail @Bukit Bauk’(2024).

-RI

Tinggalkan komen anda