Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Rakyat Harap Belanjawan 2026 Terus Bela Usahawan Kecil, Generasi Muda

By 8 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

ALOR SETAR, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat menaruh harapan agar Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Jumaat ini terus memberi tumpuan kepada langkah menangani kos sara hidup serta memperkukuh sokongan terhadap usahawan kecil dan golongan muda.

Seorang peniaga, Masturah Izzati Mat Isa, 35, berharap belanjawan kali ini dapat memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk membantu peniaga kecil agar terus dapat bertahan dalam keadaan ekonomi mencabar.

“Kami peniaga kecil ini banyak bergantung kepada kuasa beli rakyat. Kalau ada bantuan berbentuk geran kecil atau insentif sewa tapak niaga, sangat membantu kami untuk terus berniaga,” katanya ketika Malaysia Aktif, semalam.

Antara makanan-makanan yang dijual peniaga

Pandangan sama turut dikongsi seorang peniaga makanan, Rabani Razali, 34, yang berharap belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memberi penekanan terhadap kestabilan harga barang asas.

“Bila harga bahan mentah naik, kami yang berniaga kecil pun terkesan. Harap kerajaan dapat kawal harga barangan dan bantu kurangkan tekanan kos operasi,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Iman Mohd Zamri, 20, usahawan muda yang menceburi bidang perniagaan kecil, berharap Bajet kali ini memberi lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk memulakan perniagaan.

“Anak muda ramai yang minat berniaga tapi kekurangan modal dan bimbingan. Kalau ada skim latihan atau pinjaman mikro khas untuk belia, itu sangat membantu kami bina masa depan,” katanya.

Bagi Darwishah Balqis Mohd Khairil, 19, pula fokus bajet bukan sahaja perlu menjurus kepada bantuan kewangan, tetapi juga peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.

“Ramai rakan sebaya saya sedang mencari kerja atau sambilan. Harap Bajet 2026 akan sediakan lebih banyak peluang kerja dan latihan industri untuk anak muda,” katanya.

Rata-rata rakyat berharap Belanjawan 2026 kekal sebagai bajet berpaksikan rakyat dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan sosial, kestabilan ekonomi serta peluang pembangunan inklusif selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

-AA-

Tinggalkan komen anda