
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook Universiti Utara Malaysia (Kedah)
ALOR SETAR, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) hari ini menyerahkan sumbangan komputer riba dan wang tunai RM1,000 kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, dalam satu majlis yang diadakan di Balai Tamu, UUM.
Sebelum ini, kisah Putera Iman Shah tular di media sosial selepas hadir berseorangan mendaftar pengajian di universiti itu setelah pemergian bapanya Shahiran Pake Chi, 57, beberapa minggu sebelum anaknya itu menjejakkan kaki ke menara gading.

Turut diadakan penyampaian sumbangan komputer riba kepada pelajar daripada keluarga B40
Ibunya, Khatijah Mohd Rashid pula terlebih dahulu meninggal dunia ketika Putera Iman Shah berusia 13 tahun.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah YPM, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dan disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan.
Sumbangan berkenaan merupakan janji Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada penghujung September lalu selepas kisah Putera Iman Shah tular di media sosial.
Menurut Syed Mohd Johan, pemberian sumbangan itu mencerminkan keprihatinan MARA dan YPM terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang berdepan kesukaran dalam pelajaran.
“Kami berharap bantuan ini dapat menjadi dorongan buat Putera untuk terus bersemangat menuntut ilmu walaupun berdepan pelbagai cabaran. Saya telah menyampaikan amanah ini dan berharap dia akan terus berjaya serta mengharumkan nama universiti, agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, Putera Iman Shah menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi dan pihak MARA atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Saya amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia benar-benar meringankan beban dan memberi semangat baharu untuk saya belajar bersungguh-sungguh. Saya mahu gunakan peluang ini untuk berjaya dan suatu hari nanti menyumbang semula kepada masyarakat,” ujarnya.
Sumbangan YPM kepada pelajar UUM itu membuktikan komitmen berterusan MARA dalam menyokong pembangunan pendidikan bumiputera dan menjadi simbol keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.
-AA-





