
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 17 Okt (MalaysiaAktif) – Penutupan beberapa laluan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur bermula 26 hingga 28 Oktober ini adalah hanya untuk masa-masa tertentu sahaja.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata orang ramai dinasihati agar mengambil maklum mengenai laluan tersebut dan maklumat trafik oleh urusetia Sekretariat ASEAN.
“Ianya bukan sepanjang hari (penutupan jalan) tapi daripada waktu-waktu tertentu sahaja. Orang ramai boleh rujuk kenyataan yang telah dibuat mengenai maklumat trafik oleh urusetia,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kabinet, di sini hari ini.
Fahmi berkata laluan tertentu seperti dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar Pengkalan Udara Subang akan ditutup pada waktu terpilih ketika ketibaan dif-dif atau kepimpinan negara dan ketua kerajaan.
“Manakala bagi kawasan Kuala Lumpur, khususnya ada beberapa lokasi yang seperti telah diumumkan oleh pihak urusetia ASEAN, ada beberapa penutupan yang telah dinyatakan pada tarikh dan hari tertentu.
“Khususnya adalah kawasan sekitar Kuala Lumpur Convention Centre (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur),” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Laluan berkenaan termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.
Jalan lain yang terlibat ialah KLIA, Lingkaran Putrajaya, dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini turut membincangkan hasrat untuk meningkatkan had umur pengguna media sosial.
“Sebelum ini kita ada sebut tentang 13 tahun tapi Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan cadangan untuk menaikkan ke 16 tahun. Ini sama seperti yang ada dilakukan di beberapa negara termasuk Australia dan Indonesia.
“Cara had umur ini akan dikuatkuasakan adalah melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan juga MyDigital ID. Pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan mengadakan perbincangan yang lebih mendalam dengan syarikat-syarikat ataupun platform-platform media sosial minggu depan di Singapura,” katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau eKYC bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu turut membuat pengumuman mengenai hasil ataupun anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan suku ketiga tahun 2025 dengan unjuran pertumbuhan 5.2 peratus, melepasi siling yang dijangkakan iaitu 48 peratus.
“Ini membuktikan bahawa walaupun dalam keadaan isu geopolitik dan perdagangan antarabangsa yang dikatakan tidak kelihatan stabil, namun dari segi asasnya ekonomi Malaysia terus berkembang pesat terutama dalam sektor pembinaan dan juga bidang perkhidmatan,” katanya.
Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyebut sekiranya industri pembuatan berkemungkinan diberi penelitian bagi memastikan isu dan cabaran terutama berkait geopolitik dan perdagangan antarabangsa yang didepani sektor tersebut dapat ditangani dengan lebih baik.
-FN





