
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/UKK Kolej Komuniti Chenderoh
TAIPING, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Penganjuran Creative Fest TVET 2025 Peringkat Kebangsaan disifatkan sebagai platform penting dalam melahirkan duta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Perak yang berwawasan, kreatif dan berinovasi, selaras dengan usaha memperkasa sektor ekonomi kreatif negeri.
Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Aezer Zubin berkata peserta yang mengambil bahagian bukan sekadar menunjukkan kemahiran teknikal, malah menjadi wakil kepada generasi baharu TVET yang membawa imej progresif dan berdaya saing.
“Peserta program ini merupakan duta TVET Perak yang membawa imej baharu yang kreatif, berinovasi dan berwawasan.
“Penganjuran Creative Fest TVET 2025 memberi impak besar kepada pembangunan negeri dengan menonjolkan bakat tempatan yang berpotensi diketengahkan hingga ke pentas antarabangsa,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 25 Oktober lalu di Taiping Mall itu menghimpunkan lebih 150 peserta dari pelbagai Kolej Komuniti seluruh negeri Perak dan Selangor, yang menampilkan bakat dan inovasi dalam bidang seni kreatif TVET.
Program anjuran Kolej Komuniti Chenderoh itu turut menggabungkan empat aktiviti utama dalam bidang kreatif TVET iaitu Perak Style Golden Hands Award 2.0, Pelancaran Batik Chenderoh Signature, Creative Showcase: Arts & Pastry, serta Warna Kreatif Junior @ CFT ’25.
Menerusi Program Seni Visual Kreatif Kolej Komuniti Chenderoh, satu rekaan batik eksklusif dihasilkan dan dijahit oleh pelajar Program Fesyen dan Pakaian dari Kolej Komuniti Batu Gajah, Manjung, Gerik dan Sabak Bernam.
Sementara itu, Program Sijil Terapi Kecantikan dan Spa dari Kolej Komuniti Batu Gajah dan Taiping turut mempersembahkan runway fesyen ‘The Style of Batik Chenderoh’ sempena Pertandingan Perak Style Golden Hands Award 2.0.
Aezer turut menegaskan bahawa inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Perak Sejahtera 2030, yang memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi kreatif dan pelancongan kraf sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat.
Tambahnya, pendekatan holistik melalui program seperti itu membantu membina kemahiran, memperkukuh jaringan industri dan membuka ruang pekerjaan baharu, sekali gus menyokong agenda pembangunan TVET negeri.
-RI





