
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook Universiti Utara Malaysia (Kedah)
ALOR SETAR, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 6,832 graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-38 yang akan berlangsung dari 9 hingga 13 November ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, Sintok.
Majlis berprestij itu akan disempurnakan Tuanku Canselor UUM, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang berkenan mengisytiharkan pembukaan sesi pertama serta menyampaikan ijazah kepada graduan.

Ketika ditemu bual semasa sidang media berlangsung semalam.
Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata majlis konvokesyen kali ini melibatkan sembilan sesi penganugerahan ijazah kepada 5,575 graduan sarjana muda dan 1,241 graduan pascasiswazah, termasuk 16 penerima Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.
“Daripada jumlah keseluruhan, seramai 6,317 merupakan graduan tempatan, manakala 441 lagi ialah graduan antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Indonesia, China, Pakistan, Arab Saudi, Nigeria, Somalia dan Iraq,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menariknya, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, turut dijadualkan menerima Ijazah Doktor Falsafah pada hari kedua majlis tersebut.
Bersempena konvokesyen tahun ini, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen ke-38 (PESKON38) dari 6 hingga 14 November bertemakan ‘Keusahawanan Pemacu Kebitaraan Graduan’, yang menampilkan pelbagai aktiviti keusahawanan, pameran, persembahan seni, dan jualan usahawan tempatan.
Majlis Konvokesyen ke-38 UUM bukan sahaja meraikan kejayaan ribuan graduan dari dalam dan luar negara, tetapi turut menzahirkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berakhlak tinggi, selaras dengan aspirasi UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka di rantau ini.
-RI





