
Laporan/foto: Muhamad Nawawi Kasa (Kedah)/SeekersGuidance
ALOR SETAR, 4 Nov (Malaysia Aktif) – Persoalan mengenai adab dan ilmu sering menjadi topik perbincangan, khususnya apabila membicarakan tentang yang mana satu lebih utama dalam kehidupan manusia.
Ilmu adalah sumber pengetahuan yang meluaskan pandangan, manakala adab pula mencerminkan keperibadian dan akhlak seseorang. Kedua-duanya saling berkait dan menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan harmoni.
Jika direnung kembali, kisah Iblis menjadi peringatan yang mendalam. Iblis itu sendiri makhluk yang berilmu, mengenal Allah dan pernah hidup dalam kalangan malaikat yang suci. Namun, apabila Allah memerintahkannya untuk sujud kepada Nabi Adam AS, Iblis enggan kerana merasa dirinya lebih hebat.
Di sinilah letaknya perbezaan antara ilmu dan adab bila mana Iblis memiliki ilmu, tetapi tiada adab, lalu menjadi makhluk yang dilaknat.
Dalam kehidupan manusia, adab dan ilmu bukan sekadar pelengkap diri, tetapi dua tiang utama yang menentukan jatuh bangunnya peribadi, bangsa dan tamadun.
Ilmu diibaratkan cahaya yang menerangi kegelapan kejahilan, membuka jalan kefahaman dan membezakan antara benar dan salah. Namun, ilmu tanpa adab bagaikan pedang tajam di tangan orang yang hilang pertimbangan kerana mampu melukai dan merosakkan.
Adab pula adalah hiasan diri dan cerminan hati. Ia mengajar manusia berfikir sebelum bertindak, menghormati sebelum menegur, serta merendah diri walaupun memiliki ilmu yang tinggi. Orang beradab tidak sombong dengan pengetahuannya kerana sedar bahawa ilmu itu pinjaman daripada Allah, bukan milik mutlak dirinya.
Apabila adab dan ilmu digabungkan, maka lahirlah insan yang bukan sahaja cerdas akalnya, tetapi juga mulia pekertinya. Sejarah menunjukkan bahawa tamadun Islam di Andalusia dan Baghdad berkembang pesat bukan hanya kerana kekayaan ilmu, tetapi kerana masyarakatnya beradab, berakhlak dan menghargai nilai kemanusiaan.
Namun, apabila adab diketepikan, ilmu boleh menjadi punca kejatuhan. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tanggungjawabnya menjaga adab, agar ilmu itu tidak disalahgunakan. Ilmu yang disertai adab akan melahirkan sifat tawaduk, sementara ilmu tanpa adab menumbuhkan kesombongan dan keangkuhan.
Sesungguhnya, ilmu mampu membawa manusia ke puncak kejayaan dunia, tetapi adab membimbingnya menuju keredaan Tuhan. Tanpa adab, ilmu menjadi racun yang merosakkan jiwa, sementara dengan adab, ilmu menjadi cahaya yang menyinari hati dan kehidupan.
-FN







