
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Pendang berjaya menyelamatkan seekor kucing yang tersepit di ruang enjin sebuah kereta di Taman Berjaya Batu Menunggul, di sini hari ini.
Menurut jurucakap APM Pendang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada seorang penduduk tempatan pada pukul 9 pagi.

Percubaan menyelamatkan kucing oleh pasukan penyelamat.
“Panggilan diterima memaklumkan seekor kucing terperangkap dalam enjin sebuah Perodua Axia. Pasukan APM yang tiba di lokasi melakukan pemeriksaan awal dan mengesahkan haiwan tersebut tersepit, sebelum menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya secara selamat.
“Operasi menyelamat mengambil masa hampir 25 minit tanpa sebarang kecederaan pada kucing mahupun kerosakan pada kenderaan terlibat,” katanya.

Kucing berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, LT. (PA) Yuslina Yusoff berkata kejadian tidak diingini lanjutan insiden seperti itu boleh dielakkan sekiranya pemilik kenderaan melakukan pemeriksaan ringkas sebelum menghidupkan enjin.
“Kami menasihatkan orang ramai agar memeriksa bahagian enjin terutamanya pada waktu pagi kerana haiwan kecil seperti kucing sering mencari tempat perlindungan di kawasan panas dan terlindung,” katanya.
Insiden tersebut mengingatkan masyarakat tentang kepentingan amalan pemeriksaan keselamatan sebelum memulakan perjalanan, bukan sahaja demi kelancaran pemanduan tetapi juga bagi melindungi nyawa haiwan terbiar yang mungkin berada di sekitar kenderaan.
-RI





