
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/ Mohd Fadzhel Ramneh (Kota Belud)
KOTA BELUD, 8 Nov (MalaysiAktif) – Program ‘Bah, Nalan Kiti’ menampilkan kepelbagaian seni dan budaya etnik tempatan dalam usaha memupuk semangat perpaduan serta memartabatkan warisan masyarakat pelbagai suku kaum.
Nama program ini diambil daripada bahasa Bajau Samah, di mana ‘Nalan’ bermaksud budaya mengunjungi majlis keramaian atau acara betitik, manakala ‘Kiti’ pula membawa maksud kita, melambangkan semangat kebersamaan dalam meraikan keunikan budaya tempatan.

Suasana program “Bah, Nalan Kiti” di Kota Belud pada Jumaat.
Naib Presiden Rumpun Bajau Samah Sabah (PRBSS) Datuk Japlin Akim berkata adalah penting untuk mengasah bakat dalam seni dan budaya masyarakat Bajau serta suku kaum lain seperti Dusun Tindal, Iranun dan Ubian agar warisan tersebut tidak hilang ditelan zaman.
“Seni ini perlu diketengahkan dan dianjurkan bagi menarik pelancong ke pentas Hentian Budaya ini selain datang ke Tamu Mingguan Kota Belud yang terkenal di seluruh Sabah.
“Budaya tradisi kita perlu diperkasa supaya diingati sepanjang zaman kerana Kota Belud kaya dengan pelbagai keindahan muka bumi dan daripada gabungan kepelbagaian suku kaum di sini yang unik dan budayanya yang indah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Bersama Komuniti ‘Bah Nalan Kiti’ di Hentian Budaya, Tamu Mingguan Kota Belud, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Komuniti Tempasuk (P2KT), Haimie Miasin menyatakan bahawa program komuniti bersama masyarakat itu disokong sepenuhnya oleh MOTAC.

Pengunjung turut menari beramai-ramai mengikut irama lagu popular Bajau, “Manuk-Manuk Lambukun”, dalam suasana penuh ceria.
“MOTAC bukan sahaja mendekati rakyat tetapi terus memberi ruang kepada masyarakat untuk menzahirkan kreativiti, memperkenalkan warisan setempat dan memperkukuhkan semangat perpaduan.
“Program ini bukan sekadar satu pertemuan tetapi mencerminkan komitmen MOTAC dalam memartabatkan kebudayaan serta mengangkat potensi warisan seni dan pelancongan tempatan serta keterlibatan komuniti amat penting dalam memastikan kebudayaan kita terus hidup dan berkembang,” ujarnya.
Program tersebut diserikan dengan persembahan pemula iaitu gesekan biola (Ngeet Biula) Isun-Isun Bajau Samah, persembahan betitik dua generasi Bajau Samah, persembahan Monuntung Dusun Tindal dan persembahan artis tempatan.
Selain persembahan kebudayaan, hidangan makanan tradisional turut disajikan kepada pengunjung seperti bahulu, kuih cincin, kuih panjaram dan cendol.
-RI





