
Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Usaha meningkatkan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan pendidik terus diperkasa apabila Jawatankuasa Taskforce Judi Dalam Talian, Internet Fraud dan Jenayah Siber Negeri Melaka mengadakan sesi taklimat khas kepada para guru berkaitan ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Taklimat Jenayah Siber yang disampaikan oleh Norzehan.
Taklimat tersebut memberi tumpuan kepada modus operandi terkini sindiket scammer termasuk penyamaran sebagai pegawai kerajaan, panggilan palsu menggunakan teknologi spoofing, serta taktik manipulasi emosi yang sering memerangkap mangsa.
Menurut Pengurus Bank Negara Malaysia Johor Bahru Norzehan Abd Karim, guru merupakan antara golongan yang perlu diberi penekanan kerana mereka bukan sahaja pengguna aktif platform digital, malah turut menjadi rujukan utama kepada murid dan komuniti sekolah.

Guru-guru Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah yang hadir mendengar taklimat.
“Kesedaran guru sangat penting, mereka bukan sekadar melindungi diri sendiri, tetapi juga mampu menyebarkan maklumat tepat kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya ketika menyampaikan taklimat tersebut di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah, dekat sini semalam.
Selain pendedahan teori, peserta turut diberi panduan langkah pencegahan, termasuk cara mengenal pasti pautan meragukan, isu keselamatan kata laluan dan keperluan membuat semakan pengesahan sebelum berkongsi maklumat peribadi.
Program itu diharap dapat meningkatkan kesiapsiagaan guru dalam menghadapi ancaman siber sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan digital.
-RI





