
Laporan/foto: Memi Yusoff (Selangor)
SHAH ALAM, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Selangor HalalVibe Fest 2025 menghimpunkan lebih 300 usahawan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menawarkan pelbagai produk makanan dan minuman, gaya hidup, produk kesihatan dan aktiviti keluarga di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, di sini.
Mengangkat tema “Halal Untuk Semua”, penganjuran oleh Halal International Selangor (HIS) bertujuan mempromosi gaya hidup halal sebagai konsep universal yang menekankan kebersihan, kualiti dan keselamatan untuk semua lapisan masyarakat.
Untuk peniaga, festival berkenaan menjadi platform penting buat mereka memperkenalkan produk baharu dan meningkatkan jualan hujung tahun masing-masing.

Muhd Fazreen mempromosikan kek lapis Sarawak sempena Selangor HalalVibe Fest 2025.
Seorang peniaga kek lapis Sarawak, Muhd Fazreen Muhd Taupik, 32, meluahkan rasa syukur dengan sambutan luar biasa sepanjang festival berlangsung pada Khamis lepas hingga hari ini.
“Setakat memang tak berhenti pelanggan datang. Memang berbaloi sertai HalalVibe Fest,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Beberapa peniaga lain menyifatkan festival halal terbesar negeri Selangor untuk tahun ini itu sebagai “pemangkin semangat” untuk meneruskan perniagaan pada tahun hadapan, terutamanya bagi pengusaha kecil yang jarang mendapat peluang menyertai festival berskala besar.
Seorang pengunjung , Fathiah Rahim, 40, berkata festival itu memberi pengalaman menarik kepada keluarganya, terutama bahagian aktiviti kanak-kanak.
“Anak saya masuk pertandingan mewarna, suami pula seronok tengok street soccer. Banyak sangat aktiviti sampai tak sedar masa berjalan. Memang berbaloi datang,” katanya.
Selangor HalalVibe Fest 2025 menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur termasuk pertandingan kucing comel, Fun Run, Mamee Chef Cilik, pertandingan mewarna, Street Soccer, persembahan kebudayaan dan aktiviti memancing udang kara air tawar yang merupakan antara tarikan unik tahun ini.
-FN





