Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pelbagai Dasar, Inisiatif untuk Jamin Kesejahteraan Warga Emas – Wan Azizah

By 30 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)/Pejabat Daerah dan Tanah Sepang

SEPANG, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Pelbagai dasar dan inisiatif sedang dilaksanakan kerajaan dalam memastikan kebajikan warga emas di negara ini terjaga selaras agenda pembangunan Malaysia MADANI.

Kira-kira 300 orang warga emas hadir pada program Hari Sukan Warga Emas Peringkat Daerah Sepang 2025.

Pengerusi KASIH Malaysia Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata antaranya ialah Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 atau National Agein Blueprint (NAB).

“Selain itu, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bantuan kepada warga emas melalui pembentangan Belanjawan 2026.

“Saya yakin bahawa Malaysia di landasan yang betul untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga emas terjaga dengan komitmen oleh pelbagai agensi dan kementerian seperti KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Warga Emas peringkat Daerah Sepang 2025, di sini semalam.

Bertemakan ‘Aktif, Sihat dan Bahagia di Usia Emas’, program yang disertai lebih 500 individu termasuk 300 warga emas, komuniti setempat dan pertubuhan kebajikan itu menepis persepsi sekiranya usia lanjut membataskan pergerakan fizikal golongan berkenaan.

Aktiviti Langkah Harmoni (Fun Walk) di pesisir pantai.

Program dua hari anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Sepang bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) @3A Nenda itu padat dengan pengisian gaya hidup sihat antaranya Langkah Harmoni (Fun Walk) di tepi pantai, Senaman Warga Emas (SENAMAS), serta sukan rakyat.

Selain aktiviti fizikal, aspek kesihatan mental turut ditekankan menerusi slot “Hati Emas, Jiwa Muda” kelolaan Pegawai Psikologi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, selaras objektif memperkukuh kesejahteraan holistik golongan emas.

Pada majlis sama, Wan Azizah turut menyampaikan Anugerah Khas Warga Emas membabitkan tiga anugerah utama iaitu Legenda Emas Sukan Sepang, Satria Sukan Sepang dan Srikandi Sukan Sepang sebagai penghormatan kepada individu yang kekal aktif menyumbang dalam arena sukan walaupun telah berusia.

-FN

Tinggalkan komen anda