
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
KUALA SELANGOR, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Tiada keperluan untuk membuka hospital medan meskipun banjir melanda beberapa negeri ketika ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata tiada hospital di bawah seliaan kementeriannya yang terjejas setakat ini susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
“Justeru, belum ada keperluan untuk mewujudkan hospital medan atau hospital lapangan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Walaubagaimanapun beliau berkata sebanyak 54 fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir melibatkan Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di seluruh negara.
“Apa pun, kita harus berdoa agar tiada gelombang banjir baharu,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok, di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak mengesan penyakit bawaan air akibat banjir di PPS di seluruh negara setakat ini.
“KKM telah menyaring 2,672 mangsa di PPS dan daripada jumlah itu, 433 dikesan mempunyai jangkitan saluran pernafasan. Selain itu, seramai 134 terkesan akibat jangkitan kulit, 27 orang cirit birit serta enam lagi konjunktivitis,” katanya.
Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor turut menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz.
-FN





