Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Insentif Mahasiswa Anak Johor Kurangkan Beban Kos Pengajian Pelajar

By 9 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 9 Nov (MalaysiaAktif) – Program Insentif Mahasiswa Anak Johor 2025 oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) diteruskan ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) semalam, melibatkan seramai 4,000 pelajar anak jati Johor.

Melalui inisiatif tersebut, setiap pelajar yang layak menerima bantuan kewangan berjumlah RM200 secara bayaran sekali gus, bagi meringankan beban kos pengajian dan keperluan harian mereka sepanjang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Mohd Islahudin berasa bersyukur menjadi anak Johor dan gembira mendapat insentif Mahasiwa Anak Johor 2025.

Bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Mohd Islahudin Mohd Yusaini, 22, beliau menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri menerusi bantuan yang disalurkan.

Beliau berkata walaupun jumlahnya tidak besar, namun ia tetap membantu mengurangkan beban kos pembelian bahan pembelajaran.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) atas inisiatif ini. Diharapkan pada masa akan datang, kerajaan dapat memperluaskan bantuan kepada golongan belia dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan memastikan kadar gaji sepadan dengan kelulusan pendidikan,” katanya.

Mohd Islahudin berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan tersebut di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, di sini semalam.

Siti Aziah Azman akan mengguna wang insentif untuk membeli buku rujukan pengajian.

Sementara itu, pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektronik Siti Aziah Azman, 24, turut meluahkan rasa bangga menjadi anak Johor dan terpilih sebagai penerima insentif berkenaan.

“Syarat permohonan yang mudah, hanya perlu mengemukakan MyKad bagi membuktikan status anak Johor, amat memudahkan pelajar seperti saya. Saya bercadang menggunakan bantuan ini untuk membeli buku rujukan,” katanya.

Beliau turut berharap agar bantuan pada masa akan datang diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa serta mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian diskaun khas kepada pelajar bagi penggunaan perkhidmatan pengangkutan e-panggilan.

-RI

Tinggalkan komen anda