
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Facebook Amirudin Shari
SHAH ALAM, 9 Nov (MalaysiaAktif) – Selangor secara rasmi telah dianugerahkan tanggungjawab menjadi tuan rumah kepada temasya sukan antarabangsa, Islamic Solidarity Games (ISG) Edisi Ketujuh, yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2029.
Pengumuman bersejarah itu dibuat Persatuan Sukan Solidariti Islam (ISSA) semalam, meletakkan Selangor di pentas utama penganjuran sukan melibatkan negara-negara Islam dari seluruh dunia.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penganugerahan itu mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan Selangor menganjurkan acara berskala besar yang dijangka melibatkan penyertaan sehingga 57 negara.
“Alhamdulillah, ISSA telah mengumumkan bahawa negeri Selangor dianugerahkan tanggungjawab sebagai hos kepada Islamic Solidarity Games Edisi Ke-7 pada tahun 2029,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Amirudin turut memaklumkan bahawa permohonan penganjuran itu telah mendapat sokongan penuh Kerajaan Persekutuan.
“Perkara ini disampaikan secara bersama oleh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia serta kerajaan negeri, yang diwakili oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Belia dan Sukan, Najwan Halimi,” jelasnya.
Mengulas mengenai persiapan awal, beliau menegaskan bahawa pengalaman menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-22 pada tahun 2026 akan menjadi pemangkin utama dalam mengukuhkan kapasiti penganjuran negeri.
“Kerajaan negeri sedang mengusahakan peningkatan infrastruktur dan fasiliti tempatan sebagai persiapan menganjurkan SUKMA ke-22, dan pengalaman SUKMA 2026 akan mengukuhkan kapasiti negeri untuk menjadi pentas kepada atlet luar negara,” ujarnya.
Beliau menambah inisiatif itu juga akan memberikan dorongan signifikan kepada atlet negeri untuk meningkatkan prestasi mereka menjelang ISG 2029.
ISG sebelum ini telah dianjurkan oleh Turkiye pada tahun 2021, manakala edisi terkini sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi dan dijadualkan berakhir pada 21 November ini.
-RI





