
Laporan/foto: Anita Omar (Manjung)
MANJUNG, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Yakin Kejayaan Inisiatif Negeri (YAKIN) 2025 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, berjaya menyerlahkan komitmen kerajaan negeri Perak dalam menyantuni dan mendekati rakyat.
Penganjuran jelajah ini bertujuan untuk menerangkan dasar pembangunan negeri khususnya visi Perak Sejahtera 2030 kepada rakyat bagi memastikan maklumat disampaikan dengan tepat, jelas dan mengelakkan salah tafsir.
Dalam ucapan perasmian, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi DUN Pasir Panjang Yahaya Mat Nor, berkata penganjuran Jelajah YAKIN merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan dengan rakyat.

Sebahagian peserta yang hadir dalam Program Jelajah YAKIN DUN Pasir Panjang.
“Program Jelajah YAKIN ini adalah manifestasi keazaman kerajaan negeri untuk terus mendekati rakyat, mendengar suara komuniti dan menyampaikan dasar pembangunan negeri dengan lebih jelas supaya pembangunan dapat disusun selari dengan realiti setempat,” katanya di Dewan Komuniti Taman Manjung Point Seksyen 1, Seri Manjung, di sini kelmarin.
Beliau menambah beberapa projek strategik berimpak tinggi sedang rancak dilaksanakan di Manjung selaras dengan visi Perak Sejahtera 2030.
“Kawasan DUN Pasir Panjang kini menyaksikan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang bertujuan merancakkan ekonomi, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat setempat,” ujarnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan kelulusan peruntukan Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) kepada para penerima.
Salah seorang penerima, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Semangat Segari Safiee Salleh, 61, melahirkan rasa syukur dan gembira atas keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu komuniti setempat.
“Kerajaan negeri banyak menyediakan bantuan, insentif serta inisiatif untuk pembangunan komuniti setempat bagi merealisasikan matlamat Perak Sejahtera 2030. Saya berharap tiada sesiapa yang akan ketinggalan dalam usaha ini,” katanya.
Di bawah agenda Perak Sejahtera 2030, daerah Manjung menjadi lokasi pembangunan beberapa projek berimpak tinggi, termasuk Projek Lumut Maritim Industrial City (LUMIC).
Projek pemangkin industri maritim negeri ini dijangkakan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan dan ekonomi komuniti setempat.
-RI





