
Laporan/foto: Siti Noorezrin/Muhammad Naim
JEMPOL, 24 Nov (MalaysiAktif) – Projek memperindah dan menaik taraf kawasan belukar di bawah inisiatif Program Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri telah memberikan impak positif kepada daerah Jempol khususnya masyarakat setempat.
Program yang diadakan bersekali dengan Sirkit 5 Bukit Daerah Jempol 2025 anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Jempol telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Datuk Norazmi Mohd Narawi, semalam.

Peluncuran yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman.
Menurut Norazmi, program KAM yang diinisiatifkan oleh Perdana Menteri merupakan satu peluang bagi anak tempatan yang telah berjaya untuk memberikan sumbangan kepada tempat lahirnya.
Beliau yang merupakan anak tempatan daerah Jempol telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi melaksanakan projek yang memberikan impak kepada semua.
“Dengan pelaksanaan projek ini, kita berharap agar limpahannya akan dapat dirasai oleh semua masyarakat baik dari segi pembangunan fasiliti atau pun ekonomi rakyat,” katanya.
Menurutnya lagi, program ini secara tidak langsung dapat memperkenalkann perkhidmatan yang diberikan oleh agensi dan mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang fungsi Jabatan Bantuan Guaman yang memberikan khidmat nasihat undang-undang dan guaman kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Katanya, pemilihan kawasan Kampung Bukit Laka dibuat atas saranan dari Pejabat Daerah yang ingin mengetengahkan kawasan bukit penarikan sebagai tarikan pelancongan.

Penyampaian cek cura oleh Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman kepada wakil Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Laka Abu Zarin Bahari, berkata kawasan ini yang dulunya merupakan tapak perkhemahan pengakap telah menjadi belukar kerana tidak diselenggara dan dijaga.
“Kami masyarakat kampung sangat bersyukur dan menyambut baik projek ini kerana dalam kawasan ini terletaknya bukit penarikan yang mempunyai pemandangan yang indah kepada pengemar sukan lasak,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya program KAM ini, dalam masa yang sama pihak JPKK turut melancarkan projek Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang menawarkan aktiviti sewaan kenderaan serba rupa bumi (ATV) dan berkayak agar tempat ini akan terus hidup.
Turut diadakan pelbagai pengisian lain antaranya Fun Walk Kampung Den, Pendakian Bukit Penarikan, Jualan Rahmah, pertandingan nyanyian serta cabutan bertuah.
-RI





