
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 23 Nov (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh pendidikan anak-anak keluarga berpendapatan rendah terus diberikan momentum baharu apabila Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Diraja CSR@YPM di Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, kelmarin.

Yang Dipertua MAIDAM berkata sokongan pelbagai pihak amat penting dalam menjayakan agenda pendidikan negeri.
Majlis penuh berprestij itu diserikan dengan keberangkatan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, diringi Duli Yang Teramat Mulia, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Puteri Utama Raja dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan baginda menjadi simbol sokongan dan komitmen tinggi institusi diraja dalam memastikan setiap anak Terengganu mendapat peluang pendidikan terbaik tanpa mengira latar belakang.
Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Bin Shaikh Ismail, berkata sokongan daripada sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat amat penting dalam memastikan agenda pendidikan negeri dapat terus diperkasa.
“Bersama-sama, kita mampu membina generasi pelajar yang cemerlang, berilmu dan berdaya saing demi kemajuan ummah serta kesejahteraan negeri Terengganu. Langkah ini diharap dapat meringankan beban keluarga serta membuka lebih banyak ruang pembelajaran yang kondusif kepada anak-anak Terengganu,” katanya.

Yang Dipertua MAIDAM menyerahkan sumbangan cek kepada sekolah pendidikan khas.
Beliau turut menegaskan bahawa program amal ini menjadi platform strategik bagi memperluas jaringan kerjasama antara sektor awam, korporat dan swasta dalam membentuk ekosistem pendidikan yang inklusif, mampan dan berimpak tinggi.
Hasil kutipan dana daripada majlis berkenaan akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif penting YPM, termasuk bantuan pendidikan pelajar keluarga berpendapatan rendah, penyediaan kemudahan dan peralatan pembelajaran, pelaksanaan program pembangunan pendidikan dan sokongan kepada pelajar berkeperluan khas melalui agihan kepada sekolah-sekolah pendidikan khas.
Majlis itu turut menghimpunkan tetamu kenamaan, tokoh korporat, wakil agensi kerajaan dan rakan sinergi strategik, sekali gus memperlihatkan komitmen padu semua pihak terhadap usaha memartabatkan pendidikan sebagai keutamaan pembangunan negeri.
Dengan kerjasama yang semakin diperkukuh, YPM yakin usaha murni ini mampu memberi impak besar dalam membina masa depan lebih cerah untuk anak-anak Terengganu.
-RI





