Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Bidang TVET Bukan Lagi Pilihan Kedua – Aminuddin

By 6 November 2025November 25th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Khairul Nizam (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 6 Nov (MalaysiAktif) – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua sebaliknya menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Ucapan Perasmian oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri justeru komited memperkukuh kerjasama antara institusi TVET, pihak industri dan komuniti bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan yang berkualiti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival TVET Negeri Sembilan 2025, di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.

Karnival selama dua hari bermula semalam itu menghimpunkan institusi TVET awam dan swasta, agensi kerajaan serta sektor industri dengan pelbagai pengisian menarik seperti pameran, demonstrasi kemahiran, pertandingan e-Sport, kursus jangka pendek dan jualan TVETpreneur.

Penerima Anugerah Malaysia Education & TVET 2025.

Pengunjung, Norul Ain, 38, berkata program berkenaan memberi peluang terbaik kepada ibu bapa dan pelajar mendapatkan maklumat tepat mengenai laluan pendidikan kemahiran.

“Saya datang bersama anak yang baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Penerangan yang diberikan sangat membantu kami memahami hala tuju dalam bidang kemahiran,” katanya.

Bertemakan ‘TVET NS Peneraju Aspirasi Masa Depan’, karnival berkenaan diharap dapat memupuk minat generasi muda terhadap bidang kemahiran serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan.

-RI

Tinggalkan komen anda