
Laporan/foto: Suzaima Ibrahim/Yusuf (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 19 Nov (MalaysiaAktif) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menunjukkan komitmen menjaga dan membela kebajikan warganya termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik.
Komander Artileri Divisyen (KAD) Lima Divisyen, Kol Saiful Nizam Che Soh berkata kebajikan anggota adalah keutamaan pihaknya dalam memastikan anggota yang berdepan masalah kesihatan serius tidak terpinggir.

Saiful Nizam ( tengah, kanan) bersama pegawai ATM yang hadir ketika lawatan kebajikan tersebut.
“Pasukan sentiasa ada jika memerlukan bantuan. Kita berada di sekeliling mereka, tidak kira masa. Saat sukar tetap perlu diharungi, namun yang penting adalah semangat dan doa yang berterusan agar segalanya dipermudahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kebajikan terhadap Pegawai Waran 11, Mohd Norhisham Mat Rojin di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Kem Lok Kawi, di sini, pada Selasa.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan kesihatan semasa anggota berkenaan selain memberi sokongan moral kepada keluarga yang berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan keperluan rawatan harian.
Lawatan berkenaan juga katanya turut menyokong kebajikan anggota melalui Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) termasuk ubat jenis Dupilumab yang telah mendapat kelulusan dan sedang menunggu pengagihan bernilai RM61,961.25.
Sokongan kesihatan yang diagihkan turut melibatkan peralatan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) berjumlah RM6,500 daripada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

Saiful Nizam (kiri) ketika mendengar penerangan daripada Norhisham (kanan) berkenaan penggunaan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang perlu dipakainya semasa tidur.
Mohd Norhisham, 44 , disahkan menghidap penyakit asma tahap akhir dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) yang memerlukan pemantauan rapi.
Beliau turut menghidap beberapa penyakit kronik lain termasuk hipertensi, diabetes mellitus serta dislipidemia.
Turut hadir, Ketua Staf (KS) Lt Kol Zakaria Saip Lani, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-6 Artileri Diraja (6 RAD), Lt Kol Azmi Sidek, Pegawai Staf 2 Tadbir, Mej Shaiful Azhar Hussain serta Pegawai Staf 3 Tadbir, Kapten Meor Ma’as Salleh.
-RJ-





