Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Kesihatan Fizikal, Mental Asas Kehidupan Seimbang

By 17 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida (IPN)/PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Wanita di Negeri Sembilan digesa mengutamakan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri dalam kehidupan seharian.

Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Negeri Sembilan (PCNS) Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof menegaskan kepentingan kesejahteraan menyeluruh dalam kehidupan seharian serta kesihatan fizikal dan mental adalah asas kepada kehidupan yang seimbang.

Wan Hasni menurunkan tanda tangan di buku pelawat wad kanak-kanak.

“Saya mengajak semua wanita untuk terus menjaga diri, mengutamakan kesihatan dan menjadikan amalan hidup sihat sebagai budaya harian demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmian Program Santai Sihat PUSPANITA@Wellness Hub Port Dickson sebagai usaha memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya wanita, di sini kelmarin.

Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dengan kerjasama PCNS itu turut menampilkan pelbagai pengisian bermanfaat seperti senaman chair robic yang dipimpin oleh Kumpulan MyChampion Port Dickson dengan gerakan kecergasan ringan yang sesuai untuk semua golongan.

Pengunjung juga berpeluang mengikuti sesi Bicara Sihat Santai, teknik urutan relaksasi, Virtual Tour@Wellness Hub serta mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma.

Senaman chair robic dipimpin oleh Kumpulan MyChampion Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr. Zuraida Mohamed pula menekankan kepentingan penjagaan kesihatan secara holistik merangkumi tubuh, minda dan emosi.

Bagi mengukuhkan lagi objektif program, penganjur turut melaksanakan Program Ziarah Kasih di Hospital Port Dickson melibatkan kunjungan ke wad kanak-kanak dengan menyampaikan sumbangan serta memberi kata-kata semangat kepada ibu bapa dan penjaga pesakit bagi menyokong keluarga yang memerlukan.

Program ini secara keseluruhannya berjaya mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh jaringan sokongan komuniti khususnya dalam kalangan wanita di Negeri Sembilan.

-RI

Tinggalkan komen anda