Skip to main content
Berita TempatanSabah

Keunikan Tulisan Braille Tarik Perhatian Pengunjung ke Pesta Buku

By 13 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd. Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Pameran tulisan Braille oleh Perpustakaan Negeri Sabah mengangakat keunikan kaedah penulisan tersebut sebagai salah satu elemen pembelajaran umum sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025.

Penolong Pegawai Pustakawan, Perpustakaan Negeri Sabah, Vironica Dulang berkata penyertaan kali ini memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman menaip dan membaca tulisan Braille melalui aktiviti interaktif.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman menaip tulisan Braille di reruai Perpustakaan Negeri Sabah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025.

“Hari ini kami membawa pameran tulisan Braille melalui buku teks dan juga buku Braille, serta kami juga membawa mesin taip Braille untuk memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman bagaimana untuk menaip tulisan Braille.

“Kami juga sediakan penanda buku Braille dan pengunjung boleh belajar serta mendapat pengalaman untuk menaip dan merasa sentuhan tulisan Braille itu sendiri,” katanya ketika ditemui di reruai pameran Perpustakaan Negeri Sabah di Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025, di sini pada Rabu.

Tambahnya, aktiviti tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan rata-rata pengunjung yang hadir mendapat pengalaman pertama kali dalam mempelajari proses penghasilan tulisan Braille.

“Ramai pengunjung yang baru mengetahui cara tulisan Braille itu dihasilkan dan mereka sangat sukakan aktiviti ini. Selain pameran tulisan Braille, kami juga memperkenalkan permainan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk menarik perhatian pengunjung.

Permainan ‘Snake Ladder’ versi Braille antara tarikan untuk pengunjung mencuba aktiviti khas bagi golongan OKU penglihatan.

“Ramai pengunjung pertama kali melihat permainan ini dan mereka juga seronok sebab berpeluang mencuba sendiri permainan itu. Ia pun melibatkan sentuhan dalam bentuk Braille dan sangat mudah dimainkan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Muhammad Fazzri Basiran, 28, berkata pameran tersebut memberi pendedahan kepada komuniti untuk memahami kaedah komunikasi dan penulisan golongan OKU penglihatan melalui tulisan Braille.

Muhammad Fazzri tertarik mencuba mesin Braille ketika mengunjungi reruai Perpustakaan Negeri Sabah semalam.

“Saya memang meminati tulisan Braille kerana kaedah ini membuka cabang ilmu baru kaedah pembelajaran yang unik walaupun kita boleh membaca dengan normal. Tetapi, dengan adanya ini (pameran), kita dapat merasai sendiri bagaimana rakan kita golongan kurang upaya mempelajari Braille,” katanya.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 12 hingga 16 November itu menghimpunkan lebih 50 pempamer dari dalam dan luar negara serta menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan dengan pelbagai aktiviti interaktif.

-RJ-

Tinggalkan komen anda