Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pameran Gajah Borneo Tingkat Kesedaran Awam Tentang Spesies Hampir Pupus

By 13 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Usaha menganjurkan pameran Gajah Borneo ke seluruh negeri merupakan langkah penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat di pelbagai peringkat mengenai populasi spesies endemik ini yang kian terancam.

Pegawai Sains Kanan U-SCIENCE Universiti Malaysia Sabah (UMS), Saidah Mat Salleh berkata pameran berkenaan mendedahkan kepada masyarakat akan keunikan serta nilai konservasi khasnya melibatkan satu-satunya spesies gajah liar yang hanya terdapat di pulau Borneo iaitu Gajah Borneo.

Selain pameran, penyelidikan terhadap Gajah Borneo jelasnya dijalankan melalui proses analisis terperinci bagi mengenal pasti pelbagai maklumat penting seperti saiz populasi, jenis makanan, nisbah jantan dan betina serta tahap kesihatan gajah.

Saidah menerangkan kepada pelajar tentang usaha pemuliharaan spesies endemik Gajah Borneo di reruai pameran U-SCIENCE.

“Gajah Borneo sangat berbeza daripada gajah di negara lain.  Kajian menunjukkan Gajah Borneo memiliki DNA yang unik dan tidak ditemui di tempat lain.

“Malah, najis gajah turut dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah), menandakan nilai saintifiknya yang tinggi. Namun, ancaman terbesar yang dihadapi spesies ini ialah kehilangan habitat semula jadi akibat pembukaan kawasan pertanian berskala besar, terutamanya ladang kelapa sawit.

“Situasi ini sering menimbulkan konflik antara manusia dan gajah apabila haiwan tersebut mencari makanan di kawasan penempatan atau ladang, sehingga menyebabkan kerosakan tanaman,” katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIBF) 2025 di sini pada Rabu.

Tambah Saidah, bagi menangani konflik habitat antara manusia dan Gajah Borneo, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk pihak sekolah, institusi pendidikan tinggi dan komuniti.

Najis gajah yang diawet turut dipamerkan bagi memberi pendedahan kepada pengunjung tentang kaedah penyelidikan saintifik terhadap spesies tersebut.

“Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, kami mahu anak-anak Sabah mengenali khazanah negeri sendiri serta berbangga dengan keunikan alam sekitar mereka.

“Usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan melindungi Gajah Borneo akan terus diperkasakan. Diharapkan kesedaran ini dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam sekitar serta memastikan khazanah Borneo ini terus hidup untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda