Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program OKU Berdaya Perkasa Golongan Istimewa Ke Arah Hidup Berdikari di Kulim

By 13 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zatul Iffah Wahab/Mahrani Mohamad (Kulim)

KULIM, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Program Orang Kurang Upaya (OKU) Berdaya : Melangkah ke Arah Hidup Berdikari Tahun 2025 mampu memperkasa golongan berkenaan melalui latihan kemahiran, keusahawanan dan sokongan pekerjaan.

Che Murad mengadakan lawatan ke reruai peserta OKU.

“Program seperti ini memberi peluang kepada OKU membina kemahiran dan keyakinan diri untuk berdikari serta menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini hari ini.

Che Murad yang menyeru agar sektor swasta dan majikan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan tersebut bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi negara turut menegaskan bahawa usaha berkenaan penting bagi membantu mereka berdikari dan meningkatkan penyertaan dalam pasaran kerja.

Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah dengan kerjasama Rumah Amal Kulim itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah Norasikin Ibrahim, wakil-wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Peserta yang hadir ke Program OKU Berdaya Melangkah ke Arah Hidup Berdikari 2025.

Dalam majlis sama, JKM turut meluluskan Bantuan Kewangan Kerajaan sebanyak RM212,170 untuk operasi dan program Rumah Amal Kulim bagi tempoh 2025 hingga 2026, serta RM193,480 bagi Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) OKU berdekatan institusi tersebut.

Program tersebut bukan sahaja memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan OKU, malah mencerminkan nilai keprihatinan dan solidariti masyarakat terhadap golongan istimewa itu.

Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, diharapkan lebih ramai OKU mampu melangkah ke arah kehidupan yang berdikari dan bermaruah.

-RI

Tinggalkan komen anda