
Laporan/foto: Norsaedah Haron/Zuriatina Tamat (Kluang)
KLUANG, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjumlah RM100,000 yang diterima Komuniti MADANI Mukim Niyor telah membuka ruang baharu kepada penduduk setempat untuk menjadikan kraf resin sebagai sumber pendapatan sambilan, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti khususnya golongan suri rumah.

Antara produk kraf resin yang dihasilkan oleh Niyor Resin Craft.
Inisiatif ini dicetuskan oleh Penghulu Mukim Niyor merangkap Ketua Komuniti MADANI Mukim Niyor Muhammad Najib Hashim atau lebih dikenali sebagai Tok Najib yang mengambil pendekatan berbeza daripada kebiasaan penduduk yang kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian.
Tok Najib mengetengahkan projek kraftangan yang dinamakan Niyor Resin Craft sebagai tarikan baharu kepada kemahiran serta keusahawanan komuniti.
Menurut Pengurus Projek Niyor Resin Craft Shuhaily Shuhaimi, sebaik sahaja peruntukan diluluskan, Tok Najib segera mendapatkan tenaga pengajar khas dari Johor Bahru untuk melatih lima orang perintis komuniti dalam teknik pembuatan resin.
“Mereka kemudiannya menjadi tenaga pengajar untuk melatih lebih ramai penduduk dari kampung-kampung lain dalam Mukim Niyor. Pendekatan train the trainers ini mempercepatkan proses pengembangan projek,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Salah satu proses dalam pembuatan kraf resin – penulisan nama atau mesej khas.
Tambahnya lagi, promosi pada peringkat awal dilakukan melalui aplikasi WhatsApp dan rangkaian kenalan, sebelum berkembang melalui hebahan dari mulut ke mulut yang banyak membantu memperkenalkan produk resin ini kepada masyarakat setempat.
Bermula dengan hanya empat staf terlatih dan beberapa tempahan kecil, kini Niyor Resin Craft telah melatih lebih ramai suri rumah bagi menampung peningkatan permintaan, seterusnya mewujudkan peluang pendapatan sambilan yang lebih stabil.
Walaupun baru setahun beroperasi, Niyor Resin Craft telah menerima pelbagai tempahan termasuk rantai kunci, rehal, buku nota serta beberapa produk hiasan lain yang kini semakin mendapat perhatian pembeli.
-RI





