
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan sekadar sebuah organisasi komuniti, sebaliknya menjadi tulang belakang keharmonian kejiranan serta platform penyatuan rakyat di peringkat setempat.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata KRT memainkan peranan besar dalam memupuk semangat kejiranan melalui aktiviti sosial, kemasyarakatan dan kerjasama setempat yang mengeratkan hubungan antara penduduk.
“Nilai hormat-menghormati, tolong-menolong dan sikap saling prihatin merupakan asas pembentukan komuniti yang kuat dan berdaya tahan. Dan ini semua antara nilai yang perlu disemai oleh KRT, sebahagian daripada peranan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program KRT MADANI: Rakyat Disantuni anjuran KRT Residensi Bistaria, di sini hari ini.
Juwairiya turut menegaskan bahawa KRT berperanan penting dalam aspek keselamatan melalui pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta beberapa inisiatif keselamatan lain untuk memastikan kawasan kejiranan kekal selamat dan bebas jenayah.
“Ini wajar menjadi fokus utama KRT Residensi Bistaria selepas diberikan pengiktirafan kerana KRT merupakan platform penting dalam mengurus dan menyantuni komuniti di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata Pejabat Pusat Khidmat DUN sering bekerjasama rapat dengan KRT kerana gerakan mereka yang lebih aktif dan responsif berbanding sebahagian persatuan penduduk.
Juwairiya berkata KRT juga aktif menggerakkan pelbagai program seperti gotong-royong, kebersihan, bantuan bencana, kesihatan, pendidikan serta sokongan komuniti, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“KRT menjadi jambatan perpaduan merentasi kaum, budaya dan agama. Program yang inklusif memastikan semua penduduk rasa dihargai dan dilibatkan tanpa mengira latar belakang,” katanya.
-FN





