Skip to main content
Berita TempatanRencana & Pendapat

Wanita Rumah Panjang Kapat Tubai Buah Manfaatkan Cangkuk Manis

By 30 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Boniface Watt Su/Ignatius Golen Anak Sugai (Sarawak)

PAKAN, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Pucuk manis, atau lebih dikenali sebagai cangkuk manis dalam kalangan masyarakat Sarawak, bukan sahaja menjadi sayur kampung kegemaran ramai, malah kini menjadi sumber rezeki buat golongan suri rumah di Rumah Panjang Kapat Tubai Buah, Pakan, di sini.

Menurut Linda Anak Nuya, 40, beliau bersama kaum wanita di rumah panjang tersebut mengusahakan tanaman pucuk manis di sekitar halaman kediaman mereka. Setiap minggu, hasil tuaian akan dipetik, diikat dan dijual kepada pembeli tetap dari Sibu. Usaha kecil ini, katanya, sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan dapur dan keperluan keluarga.

Linda Anak Nuya, Penjual Pucuk Manis

Beliau menambah pucuk manis bukanlah tanaman baharu bagi masyarakat desa. Ia mudah diurus dan tidak memerlukan modal besar. Dengan kaedah penanaman melalui keratan batang, pokok dapat membesar dengan lebih cepat dan boleh dituai seminggu sekali. Daunnya yang hijau gelap tersusun di kiri dan kanan tangkai, manakala buahnya berubah daripada putih kepada merah samar apabila matang menghadirkan pemandangan yang indah bagi pencinta hasil bumi.

Setiap minggu, Linda dan suri rumah lain akan bergotong-royong mengumpulkan pucuk manis, pucuk ubi serta bunga kantan. Walaupun hasil jualan hanya berharga RM2 hingga RM3 seikat, jumlah kecil itu tetap menghadirkan perubahan besar dalam kehidupan mereka.

Sayuran lain seperti pucuk ubi dan bunga kantan turut dijual.

Aktiviti ekonomi tradisional ini bukan sahaja menambah pendapatan isi rumah, tetapi juga menggalakkan penduduk memanfaatkan tanaman yang mudah diusahakan dan berpotensi menjana pendapatan sampingan. Ia menjadi bukti bahawa sumber kampung yang ringkas juga mampu membawa manfaat besar jika diusahakan bersama.

-RJ-

Tinggalkan komen anda