Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Polis Tahan Lelaki Cederakan Jurujual, Rosakkan Lori

By 21 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Ammar Hasif (Perak)

IPOH, 21 Nov (MalaysiaAktif) – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencederakan seorang jurujual dan merosakkan sebuah lori syarikat di Jalan Bandar Timah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Ahmad berkata mangsa yang bekerja di sebuah kedai di lokasi telah didatangi suspek yang berusia 29 tahun dari arah belakang sebelum badannya ditoreh lelaki berkenaan menggunakan sebilah pisau kecil.

“Suspek kemudian turut memecahkan cermin kiri dan hadapan lori syarikat milik majikan mangsa menggunakan tukul yang diambil di pintu masuk kedai.

“Selepas kejadian, mangsa bersama dua rakannya mengekori suspek yang melarikan diri sebelum suspek mengambil sebilah pisau pemotong daging dari sebuah restoran berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abang Zainal berkata suspek kemudiannya cuba memasuki sebuah kedai emas di kawasan Little India namun berjaya dihalang oleh mangsa.

Beliau berkata pekerja kedai emas tersebut telah menghubungi polis dan suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi.

“Mangsa mengalami luka calar di bahagian belakang badan dan telah menerima rawatan pesakit luar. Hasil siasatan awal, ujian saringan air kencing mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine (Meth).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda