
Laporan/foto: Hasnida (Negeri Sembilan)
SENAWANG, 21 Nov (MalaysiaAktif) – Golongan peniaga dan pengguna digesa untuk mematuhi ketetapan penggunaan aplikasi Sistem Electronic Cooking Oil Subsidy System (eCOSS).

Veerapan ketika di temu bual pihak media.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Penggunaan negeri Veerapan Superamaniam berkata gesaan itu dibuat selari hasrat kerajaan untuk menghentikan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti manipulasi agihan subsidi minyak masak paket satu kilogram (kg) yang hanya merugikan negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengingkari peraturan ini,” katanya ketika membuat tinjauan pelaksanaan eCOSS bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan di sebuah pasar raya, di sini semalam.
Tinjauan berkenaan memberi tumpuan kepada pematuhan penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS yang diwajibkan bagi semua pembelian minyak masak berkenaan.

Veerapan mencuba menggunakan aplikasi eCOSS.
Melalui sistem berkenaan, pengguna dibenarkan membeli maksimum tiga paket minyak masak satu kg dengan setiap transaksi direkodkan secara langsung oleh eCOSS.
Veerapan berkata penggunaan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti pula akan memastikan data transaksi lebih tepat dan efisien dalam mengawal selia pembelian minyak masak bersubsidi berkenaan.
“KPDN menegaskan bahawa pembelian tanpa pengesahan melalui aplikasi eCOSS atau MyDigital ID tidak dibenarkan sama sekali.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut,” katanya.
-RI





