Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MADTEC Perkukuh Peranan Malaysia Sebagai Hab Eksport Buah Tropika

By 30 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Norshazila Ahmad (Selangor)

SEPANG, 30 Nov (MalaysiaAktif) – Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai hab utama eksport buah-buahan tropika dengan pembukaan Malaysia Durian (Tropical Fruit) Trade and Export Center (MADTEC), kelmarin.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata industri durian negara kini berada pada landasan kukuh dengan pertumbuhan konsisten serta pengiktirafan global.

Mohamad Sabu (dua dari kanan) meninjau kemudahan fasiliti yang disediakan oleh Tropika Makmur Manufacturing Sdn. Bhd.

“Durian Malaysia seperti varieti D197 (Musang King), D200 (Black Thorn) dan D24 terus mencatat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa kerana kualitinya yang premium serta rasa yang unik.

“Tahun lalu, Malaysia merekodkan nilai eksport durian sebanyak RM1.18 bilion melibatkan 43,461 metrik tan, sekali gus mencerminkan permintaan global yang semakin meningkat terutamanya dari pasaran China,” katanya ketika merasmikan MADTEC, di sini kelmarin.

Menurut beliau, fasiliti berteknologi tinggi itu dibangunkan bagi menyokong keseluruhan rantaian eksport buah-buahan tropika tempatan merangkumi proses rawatan, pembersihan, pemeriksaan kualiti, penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran.

“Dengan kelengkapan moden serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa, MADTEC dijangka menjadi nadi pengeluaran durian premium untuk pasaran dunia,” katanya.

Penubuhan MADTEC juga katanya merupakan langkah inklusif yang membuka peluang lebih luas kepada golongan itu untuk meningkatkan daya saing setelah kerajaan turut menyedari cabaran petani kecil dalam menembusi pasaran eksport bernilai tinggi .

Mohamad Sabu menandatangani perasmian pembukaan MADTEC.

Menerusi kemudahan pemprosesan moden yang disediakan, petani tidak lagi perlu menanggung kos besar membangunkan kilang sendiri, sebaliknya hasil mereka dapat diproses secara sistematik mengikut standard eksport antarabangsa sekali gus meningkatkan nilai komersial produk.

Kedudukan MADTEC yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta sokongan rangkaian logistik yang komprehensif menjadikan fasiliti berkenaan sebagai hab penting dalam melancarkan proses eksport, bukan sahaja bagi durian tetapi turut melibatkan buah-buahan tropika lain.

“Fasiliti ini dijangka memperkukuh daya saing Malaysia sebagai pengeksport durian premium di samping merangsang pertumbuhan industri buah-buahan tropika secara mampan,” katanya.

Inisiatif MADTEC turut mencerminkan komitmen kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI dalam memperkukuh sektor agromakanan melalui kemudahan moden, penyertaan menyeluruh serta peningkatan nilai tambah kepada seluruh pemain industri, khususnya petani kecil.

-FN

Tinggalkan komen anda