
Laporan/foto: Noor Sazarina/MBPJ (Petaling)
KOTA DAMANSARA, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Program Ekonomi Lestari anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menarik ratusan pengunjung ke CBS Kota Damansara dalam usaha mempromosikan gaya hidup hijau dan budaya penggunaan semula dalam kalangan masyarakat.
Selaras dengan Sustainable Development Goals (SDGs), agenda Malaysia MADANI dan aspirasi Kita Selangor, program ini memberi penekanan kepada pengurangan sisa dan amalan gaya hidup lestari.

Tengku Permaisuri berkenan melawat di reruai barangan koleksi milik baginda.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, berkenan hadir dan meluangkan masa meninjau aktiviti, beramah mesra dengan peserta serta menyantuni para peniaga.
Menurut pengunjung Nurul Aina Ismail, 34, program ini memberi nilai pendidikan yang penting kepada kanak-kanak.
“Program begini sangat bagus untuk mendidik anak-anak tentang kitar semula. Mereka belajar sambil beraktiviti dan ia membantu membentuk kesedaran sejak kecil,” katanya ketika ditemui di Program Ekonomi Lestari, di sini kelmarin.
Bagi seorang peniaga barang terpakai Hafiz Azali, 41, program ini membuka peluang besar kepada peniaga kecil sepertinya.
“Inisiatif seperti ini bukan saja bantu kami menambah pendapatan tetapi juga mempromosikan budaya guna semula kepada masyarakat. Sambutan hari ini memang luar biasa,” katanya.

Tengku Permaisuri Selangor berkenan meluangkan masa bergambar bersama kanak-kanak Tabika Perpaduan.
Antara daya tarikan utama ialah jualan barang koleksi milik Tengku Permaisuri Selangor yang menerima sambutan amat menggalakkan dan memperkukuh mesej kepentingan guna semula.
Pelbagai aktiviti keluarga diadakan seperti pertandingan mewarna, program Tukar, Tebus & Menang, cabutan bertuah dan reruai pameran jabatan MBPJ dengan kesemuanya bertujuan menggalakkan kesedaran komuniti terhadap pengurusan sisa yang bertanggungjawab.
Program Ekonomi Lestari @ CBS Kota Damansara bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara komuniti, peniaga dan pihak berkuasa tempatan, malah mengangkat kesedaran kelestarian sebagai budaya hidup bandar.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) Datin Seri Masdiana Muhamad, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Selangor Datin Rozana Kasbon serta Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.
-RI






