
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Official Facebook Universiti Utara Malaysia
SINTOK, 11 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat sejarah apabila Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada graduan sulung tiga program baharu universiti itu di Dewan Mu’adzam Shah, di sini semalam.
Tiga program berkenaan ialah Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, serta Sarjana Muda Sejarah Gunaan, melibatkan sebahagian daripada 716 graduan pascasiswazah yang menerima ijazah pada sesi kedua konvokesyen tersebut.

Titah ucapan Raja Muda Kedah.
Dalam titahnya selaku Pro-Canselor UUM, Tengku Sarafudin Badlishah menekankan kepentingan integriti dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai asas membentuk masyarakat berprinsip dan berdaya saing.
“Lakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat. Integriti ialah aset paling berharga. Dalam dunia yang penuh tekanan dan godaan untuk mengambil jalan pintas, integriti akan menjadi panduan dan pelindung diri,” titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan gender dalam pendidikan tinggi apabila wanita kini mewakili 55 peratus pelajar universiti di peringkat global dan 59 peratus di Malaysia.
Menurut Baginda, di UUM sendiri, 70 peratus pelajarnya terdiri daripada wanita.
“Peningkatan penyertaan wanita amat dialu-alukan, namun langkah khusus perlu diambil bagi menggalakkan lebih ramai pelajar lelaki menyertai institusi pengajian tinggi melalui pendekatan inklusif dan sokongan akademik,” titah Baginda.
Mengakhiri titah, Baginda menyeru graduan supaya tidak gentar menghadapi cabaran serta terus memberi sumbangan kepada universiti, masyarakat dan negara dengan ilmu serta kemahiran yang dimiliki.
“Hiduplah seolah-olah kamu akan mati esok. Belajarlah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya,” titah Baginda memetik kata-kata Mahatma Gandhi.
Majlis konvokesyen berkenaan mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan holistik, berintegriti dan berjiwa patriotik yang mampu menjadi ejen perubahan kepada bangsa dan negara.
-RI





