
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 11 Nov (MalaysiaAktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan komuniti setempat apabila menyerahkan Projek Khas Mempertingkatkan Prasarana Masjid Al-Hana, Kuah kepada pihak pengurusan masjid, semalam.
Penyerahan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin selepas kerja-kerja naik taraf disiapkan siap sepenuhnya mengikut jadual.

Wan Kamarul (kiri) ketika ditemu bual pihak media.
Menurut Wan Kamarul Faisal, projek bernilai RM2.5 juta bermula pada 6 April dan siap pada 15 Oktober lalu itu melibatkan kerja pembaikan bumbung, pengecatan bangunan, pemasangan sistem pencahayaan baharu serta penambahbaikan struktur keseluruhan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan ini yang memberi manfaat besar kepada kariah masjid serta pelancong yang berkunjung ke Pulau Langkawi,” katanya.
Beliau menambah peningkatan kemudahan tersebut selaras dengan objektif LADA dalam memacu pembangunan seimbang antara kesejahteraan masyarakat dan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan global.
“Masjid Al-Hana bukan sahaja tempat ibadah, malah sebahagian daripada ekosistem pelancongan spiritual dan budaya pulau ini,” katanya.

Acara Penyerahan Rasmi Projek Khas Mempertingkatkan Prasarana Masjid Al Hana, Kuah Langkawi oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA kepada pihak Masjid Al-Hana.
Kerja-kerja fizikal projek diselia ketat oleh pasukan teknikal LADA bermula 8 Mei hingga 20 Oktober termasuk sesi pemeriksaan dan serahan induk pada 21 Oktober bagi memastikan semua skop memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti.
Tiga kontraktor dilantik mengikut bidang kepakaran masing-masing bagi memastikan kecekapan pelaksanaan.
Dengan siapnya projek berkenaan, Masjid Al-Hana kini lebih kondusif dan berdaya saing sebagai masjid pelancongan bertaraf tinggi, sekali gus memperkukuh imej Langkawi sebagai pulau pelancongan mampan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pengalaman pelawat yang berkualiti.
Turut hadir Imam Masjid Al-Hana Mohd Dzaher Saad dan Pengurus Bahagian Pelancongan LADA Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari.
-RI





