
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mahathir Mohd Kamal (Kota Belud)
KOTA BELUD, 10 Nov (MalaysiaAktif) – RM77.83 juta dana diperuntukkan pada tahun ini untuk pendidikan memberi manfaat kepada 5,021 pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian tinggi melalui Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diurus tadbir Yayasan Sabah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata TPNS telah meningkat sebanyak 188.5 peratus pada tahun ini berbanding RM26.98 juta untuk 908 pelajar pada tahun 2020.

Anak-anak golongan B40 menerima Skim Bantuan Khas oleh Yayasan Sabah.
“Komitmen Yayasan Sabah menyantuni akar umbi adalah selaras dengan gagasan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan merupakan institusi penting dalam pembangunan negeri khususnya pendidikan, ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan modal insan.
“Yayasan Sabah juga adalah pemudahcara dan pengendali utama dalam usaha menyampaikan bantuan dan maklumat kepada rakyat. Sejak penubuhannya ribuan anak Sabah telah menerima bantuan biasiswa dan dermasiswa serta pinjaman pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pantai Barat Utara di Kota Belud di Dataran Kilapi, Kampung Rampayan Laut, di sini semalam.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.
Menurutnya, kerajaan melalui TPNS menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan pelajar kurang berkemampuan di Sabah dapat meneruskan pendidikan tanpa terbeban dengan kos persekolahan.
“Anak-anak golongan B40 akan menerima Skim Bantuan Khas berupa beg sekolah, peralatan sekolah dan wang bagi meringankan kos belanja persekolahan.

Sekitar suasana program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pantai Barat Utara yang diadakan di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud.
“TPNS juga memberi manfaat kepada lebih 15,000 pelajar bagi memastikan anak-anak kurang berkemampuan tidak tercicir dan diberi keutamaan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak diabaikan dengan bantuan melalui program keusahawan, latihan kemahiran, pertanian dan pembangunan luar bandar,” katanya.
Pelbagai program menarik turut diadakan di program ini seperti Jualan Rahmah, pameran dan jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Pada majlis sama, Anugerah Pengusaha Kraftangan Berpotensi Kumpulan Yayasan Sabah dan Geran Dana Mula Niaga Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah turut disampaikan dalam dalam program berkenaan.
-RI





