
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/MAIWP Labuan
LABUAN, 10 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited untuk memastikan setiap sen zakat diuruskan sebagai amanah ilmu dan pelaburan masa depan ummah.
Menurut Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya MAIWP sentiasa menitikberatkan pembangunan pendidikan sebagai teras utama dalam membina generasi berilmu dan berakhlak mulia.

Semua penerima anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI 2025 MAIWP Labuan bergambar kenangan.
“Pelbagai bantuan telah disalurkan termasuklah biasiswa, bantuan pendidikan dan keperluan persekolahan supaya anak-anak kita dapat belajar dengan selesa tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.
“MAIWP ada menawarkan peluang pendidikan melalui penubuhan institusi pendidikan seperti Sekolah Menengah Agama MAIWP di Kuala Lumpur dan Labuan, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Pondok Moden Al-Abaqirah dan Kolej Profesional MAIWP,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI 2025 MAIWP Labuan, di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 55 orang menerima anugerah dengan peruntukan sebanyak RM146,500 melalui SSPN-i beserta saguhati iringan.
“Penyampaian ini melibatkan 28 orang penerima Bantuan Am Persekolahan MAIWP dan 10 orang dari institusi MAIWP Labuan bagi kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta 17 orang penerima bagi kategori Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Sebanyak RM57,500 telah disalurkan kepada seramai 28 orang penerima di Labuan yang telah lulus perujian tasmik Skim Bantuan Galakan hafaz Al-Quran pada Julai yang lalu,” katanya.
Tambahnya, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM252,714 kepada 77 orang mahasiswa Labuan di bawah Skim Bantuan Komputer Riba bagi melengkapkan keperluan belajar mereka pada tahun ini.
-RI





