
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 19 Nov (MalaysiaAktif) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung runtuhan struktur sementara steel canopy di tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 8, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini yang mengakibatkan seorang wanita cedera, semalam.

(Tengah) Abdul Rahman ketika meninjau lokasi kejadian runtuhan steel canopy projek ECRL di Gombak hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pihaknya tidak mahu membuat tuduhan awal dan menyerahkan proses siasatan kepada agensi terlibat termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurut beliau notis larangan bekerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi menghentikan semua aktiviti sehingga siasatan selesai.
Katanya terdapat dua lagi bahagian struktur berbentuk sama di lokasi berdekatan yang turut dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Mengulas dakwaan awal bahawa kejadian berpunca daripada skylift melanggar struktur, beliau berkata siasatan masih berjalan dan pemandu terbabit akan dipanggil bagi melengkapkan rumusan teknikal.
“Kalau benar ada kecuaian, tindakan termasuk denda akan dikenakan. Tapi, kita mahu berlaku adil kepada semua pihak,” katanya kepada media selepas meninjau lokasi kejadian, di sini hari ini.

Projek ECRL Seksyen 8, MRR2 di Gombak.
Beliau turut memaklumkan mangsa kemalangan hanya mengalami trauma dan menerima cuti sakit tiga hari, manakala kenderaan dilaporkan rosak teruk.
Katanya siasatan turut meneliti kelulusan kerja-kerja berkaitan termasuk penggunaan skylift serta reka bentuk struktur sementara yang sepatutnya mendapat kelulusan penuh sebelum digunakan.
Beliau menegaskan komitmen KESUMA untuk tidak berkompromi dalam aspek keselamatan pekerja dan orang awam, selain mengulangi bahawa pemeriksaan berkala akan diteruskan di semua tapak bina bagi mengelakkan kejadian berulang.
-RI





