Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Patkor Kastima 2025 Catat Lima Kes, Perkukuh Kawalan Malaysia-Indonesia

By 19 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (MalaysiaAktif) – Sebanyak lima kes penyeludupan di sempadan maritim negara dengan nilai keseluruhan rampasan RM558,344 direkodkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui pelaksanaan Rondaan Kastam Terkoordinasi Indonesia-Malaysia (Patkor Kastima) bermula Januari hingga bulan ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata barangan kes yang dirampas melibatkan rokok putih dan produk terlarang jenis ganja.

Anis Rizana (kiri) berkata Operasi Patkor-Kastima memasuki edisi ke-29 pada tahun ini sejak ia mula diperkenalkan secara rasmi sekitar awal tahun 1990-an.

“Rampasan pada tahun ini menunjukkan pola yang berbeza berbanding 2024 yang ketika itu membabitkan komoditi seperti minyak diesel, benih sawit dan rokok putih.

“Rekod kes yang dicapai tahun ini membuktikan peranan signifikan JKDM dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Indonesia dalam memastikan keselamatan ekonomi serta ketenteraman di perairan kedua-dua negara, sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Patkor Kastima Siri 29B/2025 di Jeti Pangkalan Marin Kastam Sungai Pulai, di sini hari ini.

Operasi Patkor Kastima ialah rondaan terkoordinasi antara DJBC Indonesia dan JKDM bagi memperkukuh kawalan perairan serta membanteras penyeludupan di sempadan maritim kedua negara.

Anis Rizana memeriksa perbarisan Pasukan Penguatkuasaan Kastam Indonesia sempena penutupan Operasi Patkor-Kastima 29B/2025 di Jeti Pangkalan Marin Kastam Sungai Pulai.

Anis Rizana berkata operasi itu merupakan sebahagian daripada kerjasama Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Malaysia-Indonesia (MALINDO), melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan tindakan bersepadu.

“Kerjasama dan operasi penguatkuasaan maritim antara Malaysia dan Indonesia wajar diteruskan bagi memastikan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dapat dibanteras dengan lebih komprehensif dan berkesan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda