
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Warta Kedah (Kedah)
KUALA KETIL, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah agar graduan memanfaatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki untuk memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah air.

Istiadat Konvokesyen ke-27 UniSHAMS disempurnakan oleh Sultan Kedah.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, di sini semalam.
Baginda turut bertitah sekiranya ijazah yang diterima bukan sekadar lambang kejayaan akademik, tetapi tanda kesungguhan, pengorbanan dan ketabahan yang seharusnya diterjemahkan dalam bentuk khidmat kepada masyarakat dan pembangunan ummah.
“Kejayaan sebenar bukan terletak pada pangkat dan kedudukan tetapi pada manfaat yang kalian berikan kepada agama, bangsa dan tanah air,” titah Baginda.
Mengulas tema konvokesyen kali ini, ‘Mutiara Kebijaksanaan’, Baginda bertitah bahawa ilmu yang diperoleh perlu digabungkan dengan pengalaman, nilai dan pertimbangan moral bagi melahirkan insan yang bijaksana.

Keberangkatan tiba Sultan Kedah sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 UniSHAMS.
Sultan Sallehuddin turut menyeru warga UniSHAMS untuk meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pertanian pintar dan tenaga boleh diperbaharui agar universiti kekal relevan dan terus mencipta kejayaan cemerlang pada masa hadapan.
Sebelum menzahirkan harapan agar UniSHAMS terus menjadi institusi unggul yang melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan berbakti kepada masyarakat, Baginda turut berdoa semoga universiti itu sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT.
-RI





