
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Jabatan Perikanan Malaysia
SUNGAI PETANI, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Program Hari Perikanan 2025 (PHP 2025) anjuran Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menjadi platform memperkukuh penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dalam memajukan sektor perikanan negara.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata penganjuran PHP 2025 mencerminkan iltizam DOF dalam memperkukuh inovasi, memperluas jaringan kerjasama dan memastikan sektor perikanan kekal sebagai penyumbang penting kepada keterjaminan makanan negara.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata penganjuran PHP 2025 mencerminkan iltizam DOF dalam memperkukuh inovasi, memperluas jaringan kerjasama dan memastikan sektor perikanan kekal sebagai penyumbang penting kepada keterjaminan makanan negara.
“Hari Perikanan bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan komuniti bagi memperkasa ekonomi perikanan berteraskan inovasi serta kelestarian sumber.
“Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif penyelidikan, pembangunan teknologi dan inovasi seperti SirehMAX® dan sistem MyFiRSt, DOF bertekad memacu transformasi sektor perikanan ke arah pengurusan sumber laut yang lebih mampan, moden dan berimpak tinggi,” katanya sewaktu berucap pada program di Pantai Merdeka, di sini semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bergambar kenangan bersama tetamu- tetamu jemputan.
Program selama tiga hari bermula 31 Oktober itu membantu memajukan sektor perikanan Malaysia ke arah pembangunan yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampan, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Biru Nasional dan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).
Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad dengan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah Dzowahir Ab. Ghani.
PHP 2025 hasil pendekatan bersepadu antara kerajaan, akademia, industri dan komuniti yang menyasar memperkukuh agenda inovasi dan kelestarian sumber perikanan bagi memastikan keterjaminan makanan serta kesejahteraan masyarakat pesisir terus terpelihara.
-RI





