
Laporan/foto: Fidaus Zaki (Bentong)
BENTONG, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Seorang usahawan tempatan berjaya mengembangkan perniagaan produk tradisionalnya iaitu sambal hitam yang semakin mendapat tempat di pasaran khususnya di Lembah Klang.
Khairril Adhzaha Awahab, 45, memulakan langkah dalam dunia perniagaan sejak tahun 2008 secara kecil-kecilan dengan menjual pelbagai barangan kepada pengunjung di Genting Highlands.

Adhzaha turut menerima bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian.
Berkat usaha dan minat mendalam terhadap produk tempatan, beliau menghasilkan sambal hitam sebagai produk utama, disertai lima jenis produk tambahan lain.
“Permintaan terhadap produk saya meningkat tinggi terutama pada bulan Ramadan yang mana sambal hitam menjadi pilihan ramai sebagai hidangan pembuka selera,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Adhzaha bernaung di bawah beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) selain menggunakan mesin yang diperoleh melalui bantuan sektor pertanian.
“Saya juga sering mengikuti kursus keusahawanan anjuran MARA dan FAMA bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan perniagaan,” katanya.

Kakitangan Adhzaha menunjukkan proses memasak sambal hitam yang memakan masa lama.
Usaha beliau turut diiktiraf apabila memenangi Shopee Super Awards 2022, sebagai penghargaan atas kejayaan produk sambal hitamnya yang mendapat sambutan menggalakkan menerusi jualan dalam talian.
“Kalau nak berjaya dalam perniagaan, kena ada ilmu. Jangan takut belajar dan kena berani mencuba,” pesan Azhar yang menjadikan pengalaman sebagai kunci utama kejayaannya.
Beliau kini berhasrat untuk terus memperluaskan pasaran produknya ke seluruh Malaysia dan menjadikan sambal hitam sebagai ikon makanan tradisional dari Bentong.
-RI






