
Laporan/foto: Muhamad Sufe Fuddin (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 28 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 70 kanak-kanak di sekitar Parlimen Sungai Petani menyertai program berkhatan anjuran parlimen itu di Pejabat Parlimen Sungai Petani, di sini semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani Dr. Mohamed Taufiq Johari menenangkan peserta program berkhatan.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr. Mohamed Taufiq Johari berkata program berkenaan bukan sahaja memenuhi tuntutan kesihatan, malah mengambil kira keperluan masyarakat setempat dalam mendapatkan perkhidmatan berkhatan yang berkualiti tanpa bebanan kos kepada keluarga.
“Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen Parlimen Sungai Petani dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah, di samping memenuhi tuntutan kesihatan serta keperluan masyarakat setempat,” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan, di sini semalam.
Pelaksanaan program melibatkan pasukan perubatan bertauliah dengan sokongan sukarelawan serta petugas bagi memastikan proses berkatan berjalan lancar dan selesa.

Zubaidah Senapi, 42, menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang sangat membantu penduduk setempat.
Program itu juga dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk pancuran air daripada Pasukan Bomba Sukarela Bakar Arang, persembahan Silat Panglima serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh sebuah klinik swasta.
Seorang ibu peserta, Zubaidah Senapi, 42, menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang sangat membantu penduduk setempat.
“Saya yakin dengan kepakaran petugas dan berterima kasih atas penganjuran program ini kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi kemudahan kepada penduduk sekitar tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan berkhatan di klinik swasta,” katanya.
-FN





